Sirhajwan harumkan nama negara: Musbah

Posted on
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makan, Datuk Musbah Haji Jamli berkata, kecemerlangan Mohd Sirhajwan Idek, 29, harus dijadikan pembakar semangat dan sumber inspirasi kepada golongan muda di negara ini.

“Inilah hasil daripada usaha gigih Sirhajwan mengejar impiannya yang kini telah menjadi kenyataan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Tahniah kepada Sirhajwan kerana telah mengharumkan nama Malaysia dan, kejayaan itu adalah hasil daripada didikan dan sokongan oleh kedua ibu bapanya, Haji Idek Haji Asal dan Hajah Bintek Haji Abdul Rahman serta anggota keluarga,” katanya

Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk berkata demikan ketika bersama ibu bapa dan keluarga Sirhajwan menyambut ketibaan guru itu di KKIA dari Paris, Perancis, pada Isnin.

Mohd Sirhajwan Idek, Guru Kolej Vokasional Keningau telah mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris, pada Sabtu lepas.

Anak jati Kota Belud itu telah menewaskan 10 pesaing pada pertandingan akhir, meninggalkan Dmitry Shaytan dari Rusia di tempat kedua, manakala tempat ketiga dikongsi bersama Cindy Gilbert dari Amerika Syarikat dan David Gibson dari United Kingdom .

Sirhajwan adalah wakil tunggal dari Asia yang berada dalam senarai 10 finalis, guru lain ialah dari AS, UK, Rusia, Jerman, Kanada, Denmark dan Colombia.

Anugerah berkenaan menilai 29 penyertaan terbaik dari seluruh dunia, hanya 15 peserta telah diundang menghantar penyertaan penuh bagi memilih 10 terbaik.

Program bertaraf antarabangsa itu anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI), organisasi berpangkalan di London yang mengendalikan perhimpunan penyelidik akademik antarabangsa dan menggalakkan penyelidikan akademik cemerlang melalui penerbitan.

Sementara itu, Sirhajwan ketika ditemui berkata, inovasi dihasilkannya adalah projek berasaskan pembelajaran untuk menggalakkan pelajar menceburi inovasi dan keusahawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *