Sekali dalam seumur hidup peluang rasai kehidupan nelayan – Nasional

Posted on

KEMAMAN 11 Okt. – Orang ramai berpeluang menyelami kehidupan menerusi penganjuran program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang bakal bermula esok sehingga Sabtu ini di Pantai Kuala Kerteh di sini.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, lebih 70 program diatur sepanjang tiga hari penganjuran program turut menghimpunkan kira-kira 20,000 nelayan termasuk keluarga mereka.


“GNN 2017 adalah satu manifestasi atau cerminan kepada bagaimana kita menghargai nelayan dan cara mereka menunjukkan pengorbanan dan dedikasi bagi memenuhi (bekalan) sumber protein kepada kehidupan rakyat selama ini.

“Jadi, ini satu usaha menyanjung cara mereka mencari makan untuk keluarga dan diri sendiri. Mereka berikan kita nikmat ikan, udang, sotong dan ketam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


GNN 2017 akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 14 Oktober ini.


Antara program dan aktiviti yang telah diatur sepanjang tiga hari adalah Pesta Sukan Air, pertandingan, aktiviti-aktiviti nelayan, perarakan 700 bot nelayan, pameran dan demonstrasi agensi-agensi pertahanan, jualan segar hasil laut dan buah-buahan, empayar makanan dan banyak lagi.


Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, program ini merupakan satu perkara yang tidak pernah berlaku dan hanya akan berlaku (dianjurkan) pada kali ini sahaja.

“Bagi masyarakat nelayan pula, ini adalah satu ekspresi cara kehidupan seharian, budaya, permainan dan cara hiburan mereka. Ia juga menghidangkan satu pengalaman unik dan berbeza kepada pengunjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *