Kerajaan sentiasa kerjasama wujudkan peluang pekerjaan

Posted on

SANDAKAN: Kerajaan negeri dan pusat akan sentiasa bekerjasama untuk mewujudkan pelbagai industri yang boleh menawarkan peluang pekerjaan kepada generasi muda khususnya graduan yang menganggur.

Ketua Menteri, Tan Sri DSP Haji Musa Haji Aman berkata, Sabah sememangnya mempunyai banyak industri seperti industri pertanian, pembuatan, pelancongan selain sektor minyak dan gas serta pemprosesan hiliran.

Katanya, industri berkenaan yang semakin berkembang sudah tentu memerlukan pekerja yang berkemahiran.

“Sebab itu kita tubuhkan Hab Pendidikan di Sandakan yang mempunyai institusi pengajian tinggi selain Politeknik dan MRSM supaya anak-anak boleh belajar dan apabila mempunyai kelulusan nanti, mereka boleh mengisi kekosongan di syarikat atau industri yang dibangunkan di Sabah.

“Ini cara kita untuk bantu graduan. Yang penting kita samasama berusaha. Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan peluang pekerjaan dan anak-anak terus berusaha untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya 2017 di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Ir. James Wong.

Musa berkata, karnival seumpama itu amat bertepatan diadakan kerana ia memberi peluang dan ruang kepada pencari kerja untuk melihat, mengetahui dan bertanya sendiri mengenai peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan para pencari kerja agar tidak terlalu memilih kerja sebaliknya berani mencuba sebarang pekerjaan asalkan ia boleh menjamin masa depan.

Pada karnival itu, kira-kira 800 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 15 syarikat swasta. Antaranya, Shahpadu Energy Engineering, Dayang Enterprise Sdn Bhd, FLEX Sdn Bhd, Thai Odessy Sdn Bhd, Sincere Skill Academy, Roszall Sdn Bhd, Four Points oleh Sheraton dan Gentingmas Mall Sdn Bhd.

Karnival berkenaan merupakan anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Sabah dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan MPS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *