Gil Hoon, Paunovic wira Sabah di Likas

Posted on
PENYERANG Sabah, Rodoljub Paunovic (tengah) menjaringkan gol pendahuluan Sabah pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

 

KOTA KINABALU: Dua penyerang import, Lee Gil Hoon dan Roduljub Paunovic muncul wira Sang Badak apabila masing-masing meledak gol untuk membantu Sabah menang besar 5-1 ke atas Perlis dalam aksi liga di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Gil Hoon mencatat hatrik manakala Paunovic menyumbat dua gol, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya skuad kendalian Jelius Ating itu.

Tuan rumah memiliki peluang awal menerusi Paunovic pada minit kelima, namun tandukannya hasil hantaran Sabri Sahar singgah di palang.

Pada minit ke-15, Perlis pula terlepas peluang baik selepas tandukan ketua pasukan Makeche Ndumba dari dalam kotak penalti gagal menepati sasaran, walaupun tidak dikawal pertahanan Sabah.

Lima minit kemudian, skuad pelawat kendalian Syamsul Mohd Saad sekali lagi membahayakan pintu gol tuan rumah menerusi Modibo Konte, namun kali ini penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.

Gol yang dicari Sabah akhirnya terhasil pada minit ke-33 menerusi rembatan Paunovic dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Gil Hoon bagi menjadikan kedudukan 1-0.

LEE GIL HOON (kiri) mengawal ketat pemain pasukan Perlis Muhammad Amir Zikri Pauzi pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

Bersambung babak kedua, Gil Hoon menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57 menerusi sepakan penalti selepas dia dikasari di dalam kotak penalti sebelum itu.

Paunovic sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah hasil penyudah baik pada minit ke-61 untuk mengukuhkan kedudukan kepada 3-0.

Perlis cuba bangkit apabila memperoleh jaringan pertama menerusi Ndumba pada minit ke-66, namun Gil Hoon terus menambah jaringan Sabah pada minit ke-71, hasil gerakan solo ke dalam kotak penalti sebelum merembat cantik menewaskan Mohd Jibrail untuk kedudukan 4-1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *